
Rabita Tajeli
Rabita Tajeli dibesarkan dan mendapat pendidikan awal di Kuala Lumpur. Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Komunikasi Massa pengkhususan Penerbitan di Institut Teknologi Mara (kini UITM) dan Diploma Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa. Seterusnya, beliau menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Komunikasi Korporat.
Mula mengajar Bahasa Melayu di Sekolah Alam Shah pada Disember 1994 sebelum berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang pada 2012 sehingga kini dan pernah berpengalaman sebagai Ketua Panitia Bahasa Melayu dan Guru Kanan Mata Pelajaran Bahasa.
Beliau pernah mewakili Putrajaya dalam Debat Guru Malaysia pada tahun 2008 serta menjadi johan Pertandingan Pidato Spontan anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana pada tahun 2013. Sumbangan beliau antaranya adalah menjadi pakar rujuk dalam membina modul Tatabahasa dan KOMSAS Bahasa Melayu di Learning Port Sdn Bhd, penulis CD Bahan Digital MBMMBI Kementerian Pendidikan Malaysia dan penyunting luar bagi manuskrip kanak-kanak dan remaja Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pada waktu senggang, beliau gemar membaca untuk meluaskan ilmu agar dapat dikongsi terutama kepada muridnya. Beliau berpegang kepada pembelajaran sepanjang hayat. Maka, ilmu harus terus dicari dan diteroka agar diri terus lebih kreatif dan inovatif.