
Johan Irwan Kamarozaman merupakan pengasas Leap Leadership Academy Sdn. Bhd. Beliau mendapat pentauliahan daripada Directive Communication™ International untuk mengendalikan program berasaskan Colored Brain Communication. Johan mempunyai pengalaman kerja dalam pelbagai industri daripada industri pembuatan, keselamatan dan pendidikan.
Memulakan kerjaya sebagai seorang jurutera, beliau meneruskan kerjaya dalam bidang pemasaran dan pembangunan perniagaan sebelum menjadi penceramah profesional yang mana beliau percaya beliau dapat menyumbang lebih banyak dalam menyebarkan ilmu dan kemahiran terutama dalam bidang kepimpinan dan komunikasi.
Johan juga merupakan ahli profesional bertauliah di American Institute of Business Psychology (AIOBP). Pernah menyandang jawatan Area Governor di Toastmasters International dan kini beliau merupakan president-elect di Malaysian Association of Professional Speakers (MAPS), sebuah persatuan yang bernaung dibawah Global Speakers Federation (GSF). Beliau juga sering dijemput untuk berkongsi di media tempatan seperti TV1, TV Alhijrah, Bernama Radio, Nasional FM and Astro Awani. Baru-baru ini beliau tersenarai sebagai salah seorang daripada ‘100 Most Inspirational Linkedin Icons In Malaysia You Should Follow In 2020’ oleh Marketing in Asia.
3 tips:
• Melihat dari perspektif pembaca
Sebuah penulisan yang baik dinilai oleh pembaca. Kadangkala sebagai penulis lebih mudah untuk kita melihat dari sudut pandang kita dan kita terlupa akan sudut pandang pembaca. Oleh kerana pembaca mungkin tidak tahu apa yang bermain dalam fikiran kita, satu perkara yang penting sebagai penulis adalah untuk menentukan konteks sesebuah penulisan. Bagi saya penceritaan merupakan salah satu kaedah yang mudah untuk kita meletakkan konteks dalam penulisan. Sebab itu kebanyakkan penulis menggunakan kaedah penceritaan untuk menarik minat pembaca. Malah dalam agama serta budaya juga, penceritaan digunakan untuk menyampaikan mesej-mesej tertentu kerana ia membentuk satu konteks yang lebih baik dalam menyampaikan sesuatu maklumat
• Mempunyai struktur yang sesuai
Sebagai penulis, salah satu tanggungjawab kita adalah untuk membantu memudahkan pembaca memahami isi kandungan penulisan kita. Sebuah penulisan yang baik mempunyai struktur yang baik untuk membantu pembacanya. Secara umumnya, setiap penulisan perlu ada sekurang-kurangnya tiga bahagian iaitu pembukaan, isi serta penutup. Pernah saya membaca sebuah buku yang tidak mempunyai struktur yang baik. Ia hanya ada beberapa bab, tidak berperenggan dan tidak mempunyai seksyen. Walaupun ilmu dalam buku itu sangat menarik untuk saya pelajari, tetapi otak saya terpaksa bekerja keras hanya untuk memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulis tersebut. Disebabkan terlalu sukar untuk saya mengikuti kandungan buku tersebut, saya membuat keputusan untuk berhenti membaca, dan membaca buku yang lain. Kandungan penulisan kita tidak mempunyai nilai sekiranya ianya sukar untuk pembaca memahaminya. Oleh itu, bantulah pembaca untuk membaca dengan baik dengan membuat struktur yang bersesuaian serta penyampaian yang mudah untuk diikuti oleh pembaca.
• Menulis dan mengolah semula penulisan
Setiap penulisan bermula dengan idea. Dan pada awalnya idea tersebut mungkin merupakan idea yang kasar. Idea kasar tidak mudah untuk pembaca faham apatah lagi mengikuti penulisan kita. Oleh itu, penting untuk kita menulis dahulu draf pertama walaupun ia tidak begitu menarik dalam pandangan kita. Kemudian langkah seterusnya adalah untuk kita memperbaiki penulisan tersebut dengan menstrukturkan semula, membuang atau menggantikan perkataan tertentu, serta menambah bahagian yang kita rasakan perlu untuk meningkatkan lagi pemahaman pembaca. Setiap penulis yang baik sebenarnya tidak menulis dengan baik kali pertama mereka menulis. Tetapi mereka mungkin seorang editor yang baik terhadap tulisan mereka sendiri. Setelah penulisan itu ditulis atau diolah semula, ia akan menjadi sebuah penulisan yang lebih mudah buat pembaca