Dr Hasmidar

Home / Dr Hasmidar

Hasmidar Hassan (PhD)

Hasmidar Hassan memulakan kerjayanya sebagai guru bahasa di Pusat Bahasa dan Terjemahan, Universiti Sains Malaysia pada tahun 1995. Pada tahun 2000 – 2005, beliau melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana (Bahasa Melayu ) di Universiti Sains Malaysia, dan Ijazah Doktor Falsafah (Linguistik) di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada tahun 2006, beliau memulakan tugas sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM sehingga Ogos 2016. Pada Sept 2016, beliau berpindah ke Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Bagaimanapun, pada bulan Sept 2019, beliau meletakkan jawatan sebagai pensyarah kanan dan memulakan tugas sebagai perunding akademik bagi syarikat Brainy Bunch Sdn Bhd. Selain itu, beliau juga terlibat dengan kerja-kerja perundingan program Diploma baharu di bawah Raudhah College, Cyberjaya (milik penuh Brainy Bunch Sdn Bhd.)

Sehingga hari ini, Dr Hasmidar Hassan telah menulis hampir 20 makalah yang berkait dengan bidang tatabahasa, pragmatik, terjemahan dan pengajaran dan pembelajaran yang termuat dalam jurnal dan juga bab dalam buku. Beliau juga telah menulis sebuah buku asli dalam bidang pragmatik dan sebuah buku terjemahan. Beliau juga sering dijemput sebagai penceramah bagi kursus tatabahasa, semantik dan pragmatik, di samping dilantik sebagai pakar rujuk Bahasa Melayu kertas 3 STPM oleh Majlis Peperiksaan Malaysia 2014 – kini.

Tip Hakim:

  1. Penulisan fiksyen mahupun bukan fiksyen haruslah mempunyai kesinambungan dari segi idea (koheren), logik dari segi penceritaanya dan konteks penceritaannya, dan berkohesi. Penggunaan penanda wacana yang betul akan dapat menjamin esei yang dihasilkan berkohesi dan koheren.
  2. Elakkan menggunakan kata yang bombastik (penggunaan kata dan gaya Bahasa yang indah tetapi tidak mendukung makna yang jelas) dan bentuk bahasa berpelambangan dalam penulisan bukan fiksyen. Penulisan esei bukan fiksyen haruslah menggunakan bahasa Melayu baku /standard. Pemilihan kata yang tepat adalah penting bagi menyampaikan maksud penulis. Utamakan bahasa Melayu dan elakkan penggunaan kata pinjaman kecuali istilah yang disesuaikan ejaannya dalam bahasa Melayu (Saya yakin ini adalah antara matlamat penulisan esei dalam Bahasa Melayu, iaitu memperlihatkan kemampuan penggunaan bahasa Melayu baku penulis dalam menyampaikan ideanya sama ada dalam penulisan fiksyen atau bukan fiksyen).
  3. Elakkan membina ayat yang panjang sehingga menjejaskan maksud ayat yang hendak disampaikan. Ayat yang terlalu panjang cederung tidak berkohesi dan mempunyai banyak kesalahan tatabahasa.