
Pemilik nama penuh Norhailmi bin Abdul Mutalib ini merupakan anak jati Perlis yang mendapat pendidikan awal di SK Datuk Ahmad Musa (1988 – 1993) dan SMK Agama Arau (1994 – 1998). Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Kimia di Universiti Sains Malaysia (1999 – 2005), sebelum menimba pengalaman sebagai guru Sains dan Kimia di SMK
Luar Bandar No.1 Sibu Sarawak (2007 – 2014) selama 8 tahun.
Kini berkhidmat di SMK Jerlun, Kedah (2015 – kini) sebagai Guru Cemerlang Sains, beliau aktif berkongsi amalan terbaik Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) dan STEM dalam bilik darjah menerusi blognya, www.cikguhailmi.com (sejak 18. 11.2012) dengan lebih 300 siri ceramah dan bengkel di seluruh negara bagi meningkatkan kualiti pengajaran guru.
Antara pencapaian beliau adalah:
1. Agent for National Transformation 2014 oleh SKMM
2. Ikon Guru STEM Kebangsaan 2017
3. Naib Johan Guru Adiwira PAK21 anjuran PADU
4. Guru Adiwira Kebangsaan 2019
Beliau aktif dengan penyertaan antarabangsa, termasuk pertukaran guru Malaysia ke Korea pada tahun 2015 di Daegu Girls Commercial High School, fasilitator bagi Bengkel STELR STEM Bandung, Indonesia, pembentang best practises bagi Seminar SSAEM 2016 di Seoul dan peserta program angkasa guru antarabangsa bersama NASA di US Space and Rocket Center, Amerika Syarikat.
September 2018, beliau dinobatkan sebagai Malaysia Best Science Teacher oleh SEAMEO bagi Anugerah Ki Hajar Dewantara Award 2018 di Bali, Indonesia. 2019 beliau mencipta sejarah sebagai guru Malaysia pertama yang terpilih bagi mengikuti kursus guru antarabangsa di CERN, Pusat Nuklear Eropah di Geneva, Switzerland.
Kemuncak kejayaan bila beliau disenaraikan sebagai Finalis Top 50 bagi Anugerah Guru berprestij, Global Teacher Prize 2020 yang berpusat di London pada Mac lalu.
Tip Hakim:
- Berimaginasi sekreatifnya
- Tulis dengan hati
- Bahasa yang mudah difahami pembaca